Kebijaksanaan tanpa keberanian adalah kelemahan: Anak watan perlu berani menyergah

Oleh: Datuk Dr Hasan Mad

PADA Khamis lalu, 26 November 2026, saya diberi penghormatan oleh Kelab Rakan Kebijaksanaan (KRK), pimpinan Pengerusi KRK, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, untuk berbicara dalam Persidangan Meja Bulat Wisdom yang bertemakan ‘Kebijaksanaan Dalam Masyarakat Majmuk’.

KRK menampilkan tiga tokoh terbilang sebagai Pembicara Utama iaitu bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; pakar ekonomi dan bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Ab Rashid.

Sebagai Pembicara Pelengkap, persidangan turut menampilkan bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines System (MAS), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman; bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Mahadzirah Mohamad serta saya sendiri.

Kami bertiga bukan sekadar memperakui atau menokok tambah hujah tiga tokoh utama. Sebaliknya, kami diberi amanah untuk memperkukuh justifikasi pembinaan kebijaksanaan anak watan dalam menerajui agenda kemakmuran negara, khususnya dalam masyarakat majmuk yang mempunyai formula perpaduan tersendiri.

Alimuddin membicarakan kebijaksanaan anak watan dari perspektif pendidikan.

Sejak anak watan berjaya memperoleh kembali hak memerintah dan mentadbir negara daripada penjajah terakhir, iaitu British, pendidikan memainkan peranan besar dalam mencorakkan agenda kemakmuran negara.

Melalui falsafah dan agenda pendidikan yang jelas, terancang serta dilaksanakan dengan kemas, berlakulah beberapa anjakan paradigma, terutama dalam mobiliti sosial yang signifikan. Banyak keluarga daif berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan.

Pendidikan membuka jalan

Begitulah kebijaksanaan para pemimpin dan eksekutif terdahulu yang majoritinya terdiri daripada anak watan.

Zakariah pula berhujah dari sudut ekonomi.

Walaupun beliau hanya sempat membicarakan impak dasar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan, senario yang dikongsikannya cukup mencemaskan.

Bayangkan, setelah hampir 70 tahun merdeka, jurang ekonomi antara kaum masih ketara. Usaha merapatkannya melalui pelaksanaan beberapa dasar, terutama Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970, dilihat masih belum memberikan impak yang diharapkan.

Menurut gambaran yang dikemukakannya, secara purata anak watan masih berada pada kedudukan ekonomi yang tercicir, bukan sahaja berbanding kaum Cina, malah kaum India.

Jurang masih belum terlerai

Tiba giliran saya, saya memberikan pandangan dari perspektif sains sosial mengenai kedudukan serta peranan anak watan dalam menerajui usaha membina kemakmuran masyarakat majmuk yang semakin kompleks.

Saya mentakrifkan wisdom sebagai usaha anak watan berdamai dengan keadaan dan kepelbagaian.

Namun, pelbagai usaha itu lebih tertumpu kepada tindakan mengurangkan kegagalan, bersifat fire-fighting atau memadam kebakaran.

Apabila berdepan gelombang globalisasi, khususnya ancaman geopolitik dan geoekonomi terkini, anak watan sendiri mempunyai persepsi yang berbeza-beza.

Keadaan ini dirumitkan lagi oleh pelbagai ancaman buatan pihak luar. Sejak kebelakangan ini, mereka didakwa sering mencetuskan kepelbagaian yang mengeruhkan keadaan, sekali gus menyukarkan usaha untuk berdamai sesama sendiri.

Nada saya ternyata meningkatkan suhu perbincangan persidangan.

Apabila tiba giliran Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, beliau secara spontan menyergah kelunakan sikap yang dianggap terlalu berhati-hati, sekali gus meningkatkan lagi suhu persidangan.

Hujah beliau, kelunturan kesungguhan politik dalam kalangan pemimpin politik anak watan menjadi pemangkin utama yang menyukarkan usaha membina kebijaksanaan bersama bagi mencorakkan semula budaya perpaduan masyarakat majmuk.

Kita kaum majoriti, tetapi kuasa politik bukan sepenuhnya di tangan kita

Bagaimana mungkin kita mampu mencorakkan warna-warna perpaduan yang dihajatkan jika kesungguhan politik sendiri semakin luntur?.

Beliau berpandangan bahawa kepentingan dan kehendak sebahagian kaum minoriti tidak semestinya selari dengan aspirasi anak watan. Malah, terdapat golongan cauvinis yang didakwa sengaja mengeruhkan keadaan demi mengambil kesempatan.

Perpaduan memerlukan ketegasan

Pada penghujung mukadimahnya, beliau menyeru agar menjelang PRU-16, anak watan terlebih dahulu memperkukuh kesungguhan politik sesama sendiri jika benar-benar mahu melihat negara ini aman, makmur dan rakyatnya sejahtera secara adil serta saksama.

Apabila tiba giliran saya berbicara, saya turut mengikut rentak Tan Sri Dr Abdul Aziz, menyergah suasana persidangan dengan hujah yang lebih tegas.

Secara kebetulan, saya baru sahaja menyertai mesyuarat di Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengenai hasrat para warganya untuk mengangkat kembali Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai landasan utama bagi melaksanakan pembaharuan struktur negara yang sebenar.

Bagi kami di MPM, kemakmuran hanya akan tercapai apabila anak watan, yang merupakan sekitar 70 peratus penduduk bumi bertuah ini, bijaksana dan berani menerajui kepimpinan negara dengan segala sifat mahmudah.

Untuk tujuan itu, MPM akan mendesak semua institusi anak watan membina the common mind, iaitu kesepakatan pemikiran, bagi menjadikan bukan sahaja Perkara 153, malah keseluruhan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai asas kepada pembaharuan struktur secara menyeluruh.

Perlembagaan mesti menjadi asas

Sepatutnya, sebaik sahaja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dimeterai pada 5 Ogos 1957 oleh dua pihak utama, iaitu Majlis Raja-Raja Melayu dan pentadbiran British, itulah masa terbaik untuk melaksanakan pembaharuan struktur secara menyeluruh.

Malangnya, pemerintah dan pemimpin anak watan ketika itu terlalu accommodating dan terlalu bersangka baik terhadap kaum-kaum lain.

Sejarah tidak dapat dikitar semula

Lupakanlah hasrat sedemikian. Dalam keadaan semasa, adalah mustahil untuk melaksanakan pembaharuan struktur secara menyeluruh seperti yang pernah dibayangkan.

Namun, MPM akan tetap mengemukakan usul itu dan mendesak semua institusi politik anak watan memasukkan tuntutan berkaitan Perkara 153 sebagai kandungan utama manifesto PRU-16 mereka.

Jika tidak, kita semua, anak watan, akan ketandusan sergahan yang mampu mengganggu mimpi mereka.

Hari ini, rata-rata anak watan, termasuk generasi saya yang berada di ambang senja, masih leka dalam sindrom penafian.

Kita asyik berbicara tentang peralihan kuasa politik, sedangkan saban hari kita dihujani pelbagai serangan siber yang didakwa dihasilkan di negara jiran.

Serangan itu, menurut pemerhatian saya, bertumpu kepada satu sentimen utama: 20 juta Melayu bergantung hidup kepada tujuh juta kaum Cina yang gigih membina ekonomi negara, tetapi dinafikan kesaksamaan hak dan peluang kerana terlalu banyak hak istimewa diberikan kepada anak watan.

Itulah naratif yang mereka bina dan sebarkan.

Jangan terperangkap dalam naratif

Saya berharap generasi saya tidak dilihat sebagai generasi dinosaur yang sudah tidak relevan, sehingga anak cucu sendiri enggan berkongsi the common mind dengan kita.

Malah, mereka secara terbuka dan berani mempertikaikan beberapa perkara yang pada pandangan saya jelas bercanggah dengan semangat ideologi nasional, iaitu Rukun Negara.

Di penghujung persidangan, apabila sekali lagi saya diminta memberikan input terakhir untuk direkodkan dalam Dapatan Persidangan, saya mengulangi hasrat MPM untuk segera menghasilkan resolusi yang akan diagihkan kepada semua parti politik anak watan agar dimasukkan ke dalam manifesto PRU-16 mereka.

Terpulanglah kepada mereka untuk mempertimbangkannya.

Apa jua hasilnya, MPM akan terus berusaha menyergah anak watan tentang hak-hak mereka yang terkandung dalam Perkara 153.

Bagi kami, Perkara 153 merupakan sebahagian daripada persetujuan asas yang mengiringi pemberian hak kerakyatan dan hak mengundi kepada kaum-kaum lain secara kekal.

Jika hak kerakyatan dan hak mengundi mereka diperoleh secara kekal, mengapa hak anak watan yang terkandung dalam Perkara 153 diabaikan oleh pemerintah, malah kini dijadikan bahan lawak oleh sesetengah pihak?.

Mereka semakin berani menyergah kita.

Hak tidak boleh dipersenda.

Jika itulah hakikatnya, maka kita hanya akan benar-benar bijaksana apabila berani bertindak menuntut apa yang menjadi hak kita, serta berani menyergah mereka agar tidak mencuit hak tersebut.

Selagi tiada keberanian dan sergahan itu, selagi itulah kebijaksanaan dalam kalangan anak watan belum sempurna terbina.

 

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here