Israel usir 32 aktivis asing sokong petani Palestin di Tebing Barat

KERAJAAN Israel mengarahkan pengusiran terhadap 32 aktivis asing pada Rabu selepas mereka menyokong petani Palestin yang menuai zaitun daripada serangan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki.

Dalam kenyataan bersama Menteri Dalam Negeri Yariv Levin dan Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir, para aktivis tersebut akan diusir atas dakwaan mempunyai kaitan dengan pertubuhan bukan kerajaan Union of Agricultural Work Committees (UAWC), yang aktif menyokong petani Palestin. Tindakan itu diambil selepas satu tunjuk perasaan diadakan minggu lalu, menurut laporan agensi berita Anadolu.

Selain diusir, kerajaan Israel turut mengenakan larangan masuk selama 99 tahun terhadap kesemua aktivis berkenaan. Kenyataan rasmi tidak menyebut kewarganegaraan mereka.

Menurut laporan itu, perintah pengusiran dibuat atas permintaan Yossi Dagan, ketua Majlis Penempatan Yahudi di utara Tebing Barat.

Ditubuhkan pada tahun 1986, UAWC merupakan pertubuhan pembangunan pertanian bukan kerajaan terbesar di Tebing Barat yang membantu petani Palestin menghadapi sekatan dan rampasan tanah oleh Israel.

Dalam pada itu, pendatang haram Yahudi Israel dilaporkan telah melakukan 71 serangan terhadap rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat dalam tempoh seminggu. Serangan tersebut mengakibatkan seorang penduduk Palestin terbunuh dan 99 lagi cedera, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).

Separuh daripada serangan tersebut dikaitkan dengan musim menuai zaitun, yang menjejaskan 27 buah kampung Palestin di seluruh wilayah itu.

Pada petang Selasa, pendatang haram menebang 60 pokok zaitun di kampung Susya, yang terletak di kawasan Masafer Yatta, selatan Hebron (al-Khalil), lapor agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Selain menebang pokok, mereka turut memusnahkan pagar ladang, menimbus telaga air yang sedang dibina, serta melepaskan lembu dan kambing ke ladang anggur dan dusun di kawasan Khallet al-Hummus, tenggara bandar Yatta.

Sejak Oktober 2023, keganasan tentera dan pendatang Israel di Tebing Barat semakin meningkat. Berdasarkan angka rasmi Palestin, lebih 1,056 rakyat Palestin telah terbunuh, 10,300 cedera, dan lebih 20,000 ditahan sejak itu.


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img