POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai menumbuk dan menampar seorang pelanggan di sebuah restoran di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh selepas berlaku perselisihan ketika mangsa sedang beratur membeli sarapan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Khamis lalu kira-kira jam 9.20 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu sedang menunggu giliran membeli makanan sebelum terbatuk sekali dan menutup mulut menggunakan tangan.
“Secara tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun, memakai pelitup muka dan kopiah telah bertindak menumbuk bahagian dagu kiri mangsa.
“Suspek turut menolak serta menampar pipi kiri mangsa selain memaki hamun mangsa dengan kata-kata kesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau berkata, suspek diminta tampil memberi kerjasama dengan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Fariz Rizal Pilus di talian 011-15254018 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.






