Oleh Lokman Abdul Rahim
BELANJAWAN MADANI 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu memberi perhatian kepada persoalan yang dekat dengan rakyat: bagaimana kedudukan ekonomi negara diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik.
Kekuatan utama belanjawan ini bukan semata-mata pada jumlah peruntukan yang besar, tetapi pada usaha memastikan hampir setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat secara langsung daripada kemajuan ekonomi negara.
Yang wajar diberikan perhatian ialah usaha kerajaan menunjukkan bahawa pengurusan ekonomi yang berdisiplin dan pembaharuan fiskal boleh berjalan seiring dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Apabila ekonomi berkembang, pelaburan meningkat dan kedudukan kewangan negara terus diperkukuh, hasilnya sewajarnya dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan, pengurangan beban kewangan, peningkatan pendapatan dan peluang ekonomi yang lebih luas.
Peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), berbanding RM15 bilion sebelum ini, wajar disambut baik kerana memberi sokongan tambahan kepada isi rumah yang berdepan tekanan perbelanjaan harian.
Perluasan SARA membolehkan lebih ramai rakyat menerima sokongan untuk membeli barangan keperluan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan perbelanjaan isi rumah.
Namun, keistimewaan Belanjawan 2027 ialah manfaatnya tidak terhenti kepada golongan penerima bantuan. Golongan pertengahan yang selama ini sering merasakan diri mereka tersepit antara peningkatan kos kehidupan dengan kelayakan menerima bantuan turut diberikan perhatian.
Peningkatan pelepasan cukai individu dan pengurangan kadar cukai bagi kumpulan pendapatan tertentu memberikan ruang kepada isi rumah untuk menikmati pendapatan boleh guna yang lebih tinggi.
Begitu juga dengan pekerja yang bakal mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027. Langkah ini penting kerana penyelesaian jangka panjang terhadap tekanan kos sara hidup bukan sekadar memberikan bantuan atau mengawal harga, tetapi memastikan pendapatan rakyat meningkat dan kuasa beli mereka bertambah baik.
Pada masa yang sama, usahawan kecil dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana terus mendapat sokongan melalui kemudahan pembiayaan serta insentif perniagaan.
Anak muda pula memperoleh peluang melalui pendidikan, TVET dan pembangunan pekerjaan berkemahiran tinggi, manakala penekanan terhadap penjagaan kesihatan, kebajikan warga emas, pembangunan Bumiputera serta kemudahan asas di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar mencerminkan usaha memastikan kemajuan negara tidak tertumpu kepada kelompok atau wilayah tertentu sahaja.
Hakikatnya, belanjawan yang baik bukan hanya mengumumkan angka yang besar, tetapi memastikan manfaatnya benar-benar terasa dalam kehidupan rakyat. Bagi sebuah keluarga, manfaat itu mungkin dalam bentuk penjimatan perbelanjaan dapur. Bagi pekerja, ia bermakna gaji lebih tinggi.
Bagi golongan pertengahan, ia bermakna lebih banyak pendapatan boleh guna. Bagi peniaga kecil, ia bermakna akses kepada modal dan peluang untuk mengembangkan perniagaan.
Semua ini dilaksanakan ketika Kerajaan terus menyasarkan pengurangan defisit fiskal daripada 3.6 peratus pada 2026 kepada 3.3 peratus pada 2027. Usaha mengimbangi sokongan kepada rakyat dengan pengurangan defisit ini wajar diberikan pengiktirafan.
Sudah tentu, kejayaan sebenar Belanjawan 2027 akhirnya bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan setiap inisiatif yang diumumkan. Bantuan mesti sampai kepada penerima, peluang mesti dapat dimanfaatkan dan manfaat ekonomi perlu dirasai bukan sahaja di bandar besar, tetapi sehingga ke desa dan pedalaman.
Belanjawan MADANI 2027 membawa satu mesej yang penting: kejayaan ekonomi negara tidak seharusnya hanya dilihat melalui angka pertumbuhan, nilai pelaburan atau kedudukan fiskal, tetapi melalui peningkatan kesejahteraan rakyat.
Apabila ekonomi diurus dengan baik, hasilnya mesti dikongsi secara adil. Apabila negara semakin makmur, kehidupan rakyat juga mesti bertambah baik.
Itulah ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan — bukan sekadar ekonomi yang berkembang, tetapi kemakmuran yang dapat dirasai oleh semua.
.* Penulis adalah pembaca utusanmelayuplus





