SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Empat akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi ini atas tuduhan membunuh pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, dalam dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng pada 3 Oktober lalu.
Menurut sistem e-Kehakiman, pelajar lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas Irene Sofiya dijadualkan didakwa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno pada jam 9 pagi.
Suspek bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, lapor BH.
Difahamkan, arahan pertuduhan dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng kira-kira 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Anak perempuan tunggal itu dikatakan tidak pulang ke rumah selepas kelas tambahan berakhir jam 5 petang.
Rakannya yang melihat motosikal berada di kawasan sekolah kemudian pergi ke rumah nenek Irene Sofiya untuk bertanyakan sama ada mangsa sudah pulang atau belum.
Selepas mendapat tahu Irene Sofiya belum pulang, neneknya bersama ibu saudara dan rakan mangsa pergi mencarinya di kawasan sekolah.
Pencarian itu berakhir apabila rakannya menemukan mangsa terbaring di dalam dewan sekolah.
Terdapat kesan darah kering pada badan mangsa selain kesan lebam dipercayai akibat dipukul.
Susulan kejadian itu, polis menahan pelajar lelaki yang juga rakan sekelas Irene Sofiya bagi membantu siasatan.
Suspek direman sejak 4 Oktober lalu dan tempoh remannya dijadualkan berakhir hari ini.





