ICJ arah Israel benarkan bantuan kemanusian masuk ke Gaza, tegaskan undang-undang domestik Zionis tak terpakai di Palestin

MAHKAMAH Keadilan Antarabangsa (ICJ), badan kehakiman tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Rabu memutuskan bahawa Israel bertanggungjawab memastikan keperluan asas penduduk Gaza dipenuhi serta memudahkan operasi bantuan kemanusiaan yang dijalankan oleh agensi-agensi PBB, termasuk UNRWA.

Keputusan itu dibacakan di The Hague oleh panel 11 hakim yang diketuai Presiden ICJ, Yuji Iwasawa, yang menilai tanggungjawab undang-undang Israel terhadap agensi kemanusiaan di wilayah Palestin yang dikepung itu.

Mahkamah mendapati Israel gagal mengemukakan bukti mencukupi bagi menyokong dakwaan bahawa ramai kakitangan UNRWA mempunyai kaitan dengan Hamas, menyatakan tuduhan tersebut “tidak disokong oleh bukti yang sah.”

ICJ menegaskan bahawa Israel tidak boleh menggunakan kebuluran sebagai senjata perang, dan sebagai kuasa pendudukan, ia wajib memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan jika bekalan tempatan tidak mencukupi.

Mahkamah turut menegaskan bahawa undang-undang domestik Israel tidak terpakai di wilayah Palestin yang diduduki, serta menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Wakil Israel ke PBB mengecam keputusan itu sebagai “memalukan,” dengan mendakwa mahkamah sepatutnya meneliti “tindakan Hamas di Gaza, bukan mempersalahkan Israel.”

Mayat 54 rakyat Palestin dipulangkan dengan kesan penyeksaan

Di Gaza, Pejabat Media Kerajaan memaklumkan bahawa proses pengebumian telah bermula untuk 54 rakyat Palestin yang mayat mereka dipulangkan oleh Israel melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) selepas ditahan sepanjang konflik.

Jurucakap pejabat itu, Ismail al-Thawabta, mendakwa mayat-mayat berkenaan menunjukkan “tanda-tanda penyeksaan kejam dan hukuman mati tanpa bicara,” dengan laporan forensik mengesan kesan cekikan dan tembakan jarak dekat.

Ketika keadaan kemanusiaan di Gaza semakin genting, Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq, menyeru agar akses kepada bahan perlindungan dipertingkat menjelang musim sejuk.

Beliau berkata agensi bantuan telah mengedarkan 300 khemah dan 14,700 selimut kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal di Khan Younis, selain menghantar lebih 10,600 tan bekalan penting sejak gencatan senjata bermula.

Sementara itu, pihak pendakwa di Rome, Itali, membuka siasatan terhadap aduan daripada aktivis Itali yang ditahan selepas tentera laut Israel memintas kapal Freedom Flotilla di perairan antarabangsa pada 1 Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, Britain menghantar sekumpulan kecil pegawai tentera ke Israel bagi membantu memantau pelaksanaan gencatan senjata rapuh itu atas permintaan Amerika Syarikat.

Menteri Pertahanan UK, John Healey, berkata pegawai terbabit akan bertugas sebagai pasukan sokongan di Pusat Penyelarasan Sivil-Tentera (CMCC) yang diterajui AS dan turut disertai oleh wakil Qatar, Mesir, Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img