SEORANG pesara guru wanita berputih mata apabila kerugian RM91,062.44 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang ditawarkan menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, mangsa berusia 58 tahun membuat laporan polis kelmarin selepas menyedari dirinya ditipu.
Menurutnya, mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan cepat dan lumayan sebelum dihubungi suspek melalui aplikasi komunikasi.
“Mangsa dipujuk untuk menyertai pelaburan dan diminta mendaftar serta menyerahkan maklumat peribadi termasuk salinan kad pengenalan.
“Suspek kemudian meyakinkan mangsa untuk memulakan pelaburan serendah RM300 dengan janji pulangan tinggi dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa seterusnya diarahkan membuat beberapa transaksi ke akaun bank berbeza kononnya untuk meningkatkan keuntungan pelaburan.
“Mangsa melakukan sebanyak 19 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM91,062.44, namun tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.
“Mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya ditipu,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat kerana kebanyakannya tidak benar dan berunsur penipuan.


