RM545 juta untuk JENDELA 2 Sarawak, hampir 350 lokasi dikenal pasti – Fahmi

SEBANYAK RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 Fasa 1 di Sarawak, membabitkan hampir 350 lokasi bagi memperluas capaian Internet di seluruh negeri itu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan projek berkenaan dibahagikan kepada enam kluster, dengan surat setuju terima diserahkan kepada pihak yang akan menguruskan projek itu hari ini.

DATUK Seri Fahmi Fadzil bersama Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di pejabat Premier di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya hari ini. GAMBAR: Japen Sarawak

“Bagi JENDELA 2 Fasa 1 untuk negeri Sarawak, kita hari ini telah menyerahkan surat setuju terima kepada mereka yang akan menguruskan.

“Ada enam kluster yang akan dilaksanakan di seluruh Sarawak dan nilai bagi JENDELA 2 Fasa 1 adalah RM545 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabat Premier di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya hari ini.

Menurut Fahmi, hampir 350 lokasi di seluruh Sarawak dikenal pasti untuk menerima penambahbaikan perkhidmatan Internet menerusi inisiatif berkenaan, khususnya kawasan yang masih berdepan kekangan liputan telekomunikasi.

Katanya, kerja pelaksanaan dijangka bermula selepas syarikat terlibat menyelesaikan urusan penerimaan tawaran dan menggerakkan peralatan ke lokasi pembinaan, dengan proses awal itu dijangka dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan kumpulan pertama JENDELA 2 membabitkan 1,000 lokasi di seluruh negara, termasuk 352 lokasi di Sabah, dengan penggunaan teknologi 4G, 5G atau jalur lebar satelit mengikut kesesuaian kawasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, Sarawak turut dirancang mempunyai sekurang-kurangnya tiga lokasi pendaratan kabel dasar laut menerusi projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).

Menurutnya, Bintulu dikenal pasti sebagai lokasi utama yang diberi perhatian dalam perancangan itu bagi menyokong keperluan pembangunan Pelabuhan Bintulu dan kawasan sekitarnya.

Secara keseluruhan, kata beliau, projek SALAM dirancang membabitkan 10 lokasi pendaratan kabel dasar laut di seluruh negara, iaitu tiga di Sarawak, lima di Sabah dan dua lagi di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, lokasi pendaratan lain di Sarawak masih dalam penelitian dan belum dimuktamadkan, jelasnya.

Fahmi berkata, projek SALAM dijangka mula dilaksanakan sekitar penghujung 2026 atau awal 2027, dengan tempoh pembinaan dianggarkan antara dua hingga tiga tahun.

Pembangunan infrastruktur itu dijangka meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian komunikasi negara bagi menyokong keperluan telekomunikasi serta pertumbuhan ekonomi digital, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Dalam jawapan bertulis Kementerian Komunikasi di Parlimen pada 14 Oktober lalu menetapkan sasaran permulaan projek SALAM pada suku pertama 2027, dengan penyempurnaan disasarkan menjelang suku keempat 2029.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here