Jerebu: Sekolah di lapan PPD Selangor ditutup esok – Fadhlina

SEMUA sekolah di bawah lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor ditutup pada Jumaat susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan penutupan itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.

“Jerebu di Selangor: Semua sekolah di bawah PPD Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Petaling Perdana dan Petaling Utama ditutup pada 16 Oktober 2026,” katanya.

SITUASI jerebu di Plaza Tol Sungai Besi Kuala Lumpur jam 3 petang tadi

Sehingga jam 8 malam ini, sebanyak 35 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Klang, Selangor merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 193.

Menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor merekodkan lapan kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Pasir Gudang (188), Larkin (181), Batu Pahat dan Tangkak masing-masing 174, Pengerang dan Kluang (167), Kota Tinggi (160) dan Segamat (159).

Di Selangor, selain Klang, lima kawasan turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Johan Setia (191), Shah Alam (177), Banting (171), Petaling Jaya (169) dan Kuala Selangor (161).

SITUASI jerebu dari Jalan Tun Razak Kuala Lumpur jam 3 petang tadi

Negeri Sembilan pula merekodkan tiga kawasan dengan bacaan tidak sihat, iaitu Nilai (188), Seremban (177) dan Port Dickson (171).

Kemerosotan kualiti udara turut direkodkan di Melaka membabitkan Bukit Rambai (178), Bandaraya Melaka (175) dan Alor Gajah (172).

Putrajaya mencatatkan bacaan IPU 177, manakala di Kuala Lumpur turut merekodkan bacaan tidak sihat di Cheras (175) dan Batu Muda (167).

Di Perak, kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Seri Manjung (173), Tanjung Malim (172), Pegoh Ipoh (155), Tasek Ipoh (153) dan Taiping (108).

Di Pahang, kawasan terbabit ialah Temerloh (160), Jerantut (157), Rompin (155) dan Indera Mahkota, Kuantan (130).

Sementara itu, Kemaman di Terengganu merekodkan bacaan IPU 125 manakala Sabah, bacaan IPU di Sandakan (149) dan Tawau (106).

Sebanyak 33 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala tiada kawasan merekodkan bacaan pada tahap baik.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here