Perjalanan perjuangan Anwar dibukukan, pelancaran dijadual Mac 2027

BUKU Anwar Ibrahim: Kisah Yang Dirakam yang menghimpunkan perjalanan kehidupan, perjuangan dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual dilancarkan pada Mac tahun depan.

Buku meja kopi (coffee table book) terbitan Pertubuhan Kepedulian dan Keprihatinan Insan Malaysia (Malaysia Peduli) itu diterbitkan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, dengan kandungan merangkumi fotografi, bahan arkib, dokumen serta catatan yang disusun mengikut kronologi.

Naskhah berkenaan menelusuri perjalanan Anwar sejak zaman awal kehidupannya dan pembentukan idealisme perjuangan, melalui pelbagai cabaran, sehingga beliau diamanahkan untuk memimpin negara.

Majlis prapelancaran buku itu disempurnakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim di Putrajaya hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Malaysia Peduli, Nor Sham @ Ann Abu Samah.

Muhammad Kamil berkata, penerbitan buku berkenaan penting bagi memberi peluang kepada generasi muda memahami sejarah perjalanan dan perjuangan Anwar yang dirakamkan dalam bentuk dokumentasi.

“Naskhah yang saya fikir cukup penting untuk generasi muda khususnya mengetahui sejarah perjalanan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dirakamkan di dalam sebuah buku supaya ia dapat menjadi panduan dan pengajaran.

“Ia juga mungkin sebahagian iktibar kepada masyarakat dalam konteksnya pada hari ini, khususnya kepada golongan muda,” katanya.

Penerbitan buku itu diharap dapat menjadi bahan rujukan yang mendokumentasikan perjalanan kehidupan dan khidmat awam Anwar, selain memberi gambaran tentang peristiwa serta pengalaman yang membentuk perjalanan kepimpinannya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here