SEORANG kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai di Kampung Nada Batangawon, Jalan Simpangan, Kota Marudu semalam.
Mangsa yang berusia 12 tahun dikatakan sempat meminta pertolongan daripada rakannya sebelum dibawa arus ke arah jambatan dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan pada jam 10.21 pagi tadi.
Katanya, mangsa dilaporkan keluar dari rumahnya di Kampung Seronsob, Kota Marudu kira-kira jam 5 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati mangsa dilihat cuba menyeberangi sungai di Kampung Simpangan kira-kira jam 5.30 petang sebelum dihanyutkan arus.
“Usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Sarjan Lemmeh Duping di talian 016-331 2786 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menerusi talian 088-66 2449.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Deblie Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 3.48 petang tadi.
Katanya, lapan anggota bomba digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, berdasarkan maklumat abang mangsa, kejadian berlaku ketika tiga kanak-kanak termasuk mangsa sedang menyeberangi sungai sebelum mangsa tergelincir dan terjatuh.
“Mangsa sempat meminta pertolongan daripada rakannya, namun dihanyutkan arus deras ke arah jambatan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan pencarian di permukaan air selain menyusuri tebing sungai.
Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemukan sehingga operasi SAR ditangguhkan pada jam 5.38 petang tadi.
Operasi pencarian yang turut membabitkan polis dijadualkan disambung semula pada jam 8 pagi esok.





