Jurulatih renang ditahan, dadah RM6.8 juta dirampas

SEORANG jurulatih renang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah yang membawa kepada rampasan pelbagai jenis bahan terlarang bernilai RM6.8 juta di Melaka dan Johor.

Suspek yang berusia 27 tahun ditahan kira-kira jam 11.30 pagi semalam ketika polis menjalankan sekatan jalan raya di Plaza Tol Lipat Kajang di daerah Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, suspek dikesan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Jasin ketika menaiki sebuah Toyota Vios.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan selepas gerak-geri lelaki itu menimbulkan syak wasangka.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan ketamin seberat 3.7 gram dan 27.5 kilogram dadah jenis MDMA (3,4-methylenedioxymethamphetamine) yang disimpan dalam bungkusan menyerupai peket jus minuman,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Lee, maklumat yang diperoleh hasil penahanan suspek kemudian membawa kepada operasi lanjut di Johor dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri berkenaan.

Kata beliau, operasi itu membolehkan polis mengenal pasti lokasi penyimpanan dadah serta sumber bekalan bahan terlarang berkenaan.

Lee berkata, modus operandi suspek yang berasal dari Johor itu adalah membungkus sendiri dadah terbabit dalam paket jus minuman sebelum diedarkan ke pusat hiburan pada harga RM300 hingga RM600 sepeket.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan dianggarkan berjumlah RM6.808 juta. Polis turut menyita pelbagai peralatan yang digunakan untuk aktiviti pembungkusan dadah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif ketamin dan dipercayai mula aktif dalam kegiatan berkenaan sejak awal tahun ini.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 21 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Usaha mengesan ahli rangkaian pengedaran dan sumber bekalan dadah berkenaan masih giat dijalankan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here