Media perlu dengar penjelasan kedua-dua pihak sebelum siar berita – Fahmi

PENGAMAL media dan wartawan perlu mengutamakan ketepatan serta keadilan dalam pelaporan berita dengan mendapatkan penjelasan daripada semua pihak yang terlibat sebelum sesuatu laporan diterbitkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha mengejar kepantasan dalam menerbitkan berita tidak seharusnya menyebabkan prinsip kewartawanan diketepikan, khususnya bagi isu yang boleh menjejaskan reputasi seseorang.

“Bila kita terlalu mengejar siapa yang paling cepat siarkan, kita mungkin tertinggal perkara yang lebih penting iaitu konteks, ketepatan dan keadilan buat semua pihak.

“Dalam apa jua isu, lebih-lebih lagi yang melibatkan reputasi, dengar kedua-dua pihak sebelum disiarkan,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Fahmi berkata, beliau terpanggil mengulas perkara itu susulan hantaran tular berhubung isu sukan yang membabitkan jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley dan pelumba negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa pihak yang dilaporkan perlu diberikan hak untuk menjawab serta ruang secukupnya bagi menjelaskan keadaan sebenar sebelum sesuatu berita disiarkan.

Menurutnya, pengamal media perlu berusaha menghubungi pihak berkaitan melalui pelbagai saluran komunikasi bagi mendapatkan maklum balas, termasuk menerusi panggilan telefon sekiranya mesej tidak berbalas.

“Kita juga perlu tekankan keperluan setiap cerita itu dilapor dengan teliti dan tepat… SMS ke, WhatsApp ke, kalau orang itu jenis tidak mahu ada WhatsApp, cuba telefon… use the human touch, bagi ruang untuk jawapan.

“… dan kalau pihak itu tidak mahu memberikan komen, kita tulis sahaja yang bersesuaian dalam laporan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen yang ditunjukkan atlet bertaraf dunia negara dalam mengharumkan nama Malaysia.

“Kepada semua atlet, jurulatih serta penggiat sukan negara, terima kasih atas segala yang anda lakukan untuk Malaysia,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here