SEORANG lelaki direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kampung Berangan, di Tumpat.
Perintah reman sehingga 20 Oktober itu dikeluarkan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi di Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Kota Bharu, petang semalam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, lapor Buletin TV3.
Dalam kejadian pada 5 Oktober lalu, masjid berkenaan dimasuki seorang lelaki yang membawa tong sebelum menuang cecair berwarna coklat kehijauan di ruang solat lelaki, termasuk di atas meja ceramah.
Cecair itu dipercayai mengandungi campuran najis binatang, bulu, serpihan tulang dan ulat, menyebabkan kontraktor pembersihan terpaksa melakukan proses sertu di hampir keseluruhan ruang tingkat bawah masjid.
Lelaki terbabit dipercayai tiba dengan menunggang motosikal sebelum memecahkan pintu kaca dan menuangkan cecair daripada tong yang dibawanya.





