DUA beranak yang dilaporkan sesat di hutan berhampiran pusat rekreasi kolam air panas La Hot Spring, Hulu Besut, sejak kelmarin, ditemukan selamat tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Mustafa Ismail berkata, Adnan Mohamad, 57, dan anaknya, Adam, 25, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.40 tengah hari.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa keluar dari kawasan hutan kira-kira jam 2.40 petang selepas diberikan bantuan awal dan diiringi pasukan SAR.
“Jarak antara pos operasi SAR dengan kawasan mangsa ditemukan kira-kira tiga kilometer,” katanya ketika ditemui di Kampung La, hari ini, lapor BH.
Mustafa berkata, kedua-dua mangsa keletihan kerana tidak mempunyai bekalan makanan sepanjang berada di dalam hutan.
“Adam beberapa kali pengsan dan kedua-duanya dibawa ke Hospital Besut menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum memasuki kawasan hutan bagi mengelakkan risiko atau kejadian tidak diingini.
Terdahulu, dua beranak itu dilaporkan memasuki kawasan hutan berkenaan kira-kira jam 7 pagi kelmarin untuk mencari akar kayu bagi tujuan perubatan.





