SELEPAS membuat pengakuan ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dakwaan berkhalwat, bekas Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad direhatkan daripada sebarang aktiviti parti Bersama selama tiga bulan.
Presiden Bersama, Syukri Razab berkata parti berpendirian bahawa setiap isu yang melibatkan kepimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya, demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti.
“Sehubungan itu, parti memutuskan untuk merehatkan Nik Nazmi daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan, berkuat kuasa mulai 20 Okt hingga 19 Jan 2027.
“Bersama berpendirian bahawa keputusan ini adalah perlu dan munasabah tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen Nik Nazmi kepada perjuangan Bersama sejak parti ini dilancarkan semula pada Mei 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu hari ini, Nik Nazmi mengesahkan beliau ditahan Jais dalam kes individu bukan muhrim berdua-duaan di tempat tertutup, di sini, 15 Okt lalu.
Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, pertemuan itu bertujuan membincangkan projek bersama rakan-rakannya.
Nik Nazmi mengakui hanya dirinya dan seorang wanita berada di lokasi ketika pegawai Jais tiba, namun menegaskan mereka tidak melakukan tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
Sebelum ini, Jais mengesahkan dua individu ditahan bagi membantu siasatan kes khalwat membabitkan seorang figura awam di Petaling, kira-kira 6 petang.
Pengarah Jais, Shahzihan Ahmad, berkata siasatan dijalankan berhubung kesalahan disyaki dilakukan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.





