![]()
KEMELUT politik di Negeri Sembilan dijangka tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata apa yang penting adalah strategi yang disusun pucuk pimpinan diterjemah oleh jentera parti bagi meraih kemenangan pada PRN berkenaan.
“Strategi yang baik tetapi tidak dilaksanakan, itu juga akan menggagalkan perancangan kita.
“Kita buat strategi cantik-cantik, pada zahirnya sangat baik, dan ramai orang yang akan mengundi ataupun dikategorikan sebagai pengundi putih kepada BN, tetapi kalau kita tidak buat (mereka) keluar (mengundi) pun tak bermakna, dia tidak masuk ke dalam peti undi,” katanya.
Mohamad yang juga Menteri Luar berkata kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) kali ke-10 sesi 2025 di Melaka hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Melaka pada 14 Nov depan, dengan penamaan calon pada 31 Okt manakala undi awal pada 10 Nov.
PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi sekaligus membentuk kerajaan negeri, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (dua kerusi).





