Najib masih ditahan di Penjara Kajang belum bayar denda RM50 juta

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih ditahan di Penjara Kajang  kerana belum menjelaskan denda RM50 juta.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, denda itu telah  ditetapkan sebagai satu daripada syarat bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Beliau turut memaklumkan Jabatan Penjara Malaysia kini di fasa akhir menggubal peraturan dan syarat bagi pelaksanaan tahanan di rumah.

“Jabatan Penjara Malaysia sedang di fasa akhir, sedang menggubalnya. Negara kita tidak pernah ada (tahanan di rumah) sebelum ini tetapi tiba-tiba ada… Dalam surat Urus Setia Lembaga Pengampunan kepada Jabatan Penjara Malaysia, disebut Jabatan Penjara Malaysia bolehlah mengadakan apa-apa syarat.

“Jadi, tugas kami (Jabatan Penjara Malaysia) ialah untuk membangunkan satu set peraturan yang sekarang sedang diusahakan,” katanya.

Saifuddin Nasution  berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Felda Tenang di Jertih hari ini.

Bulan lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Baru-baru ini, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya itu akan menghabiskan baki hukuman penjara bagi kes SRC International bersama keluarga di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur menerusi perintah tahanan di rumah yang diterima daripada Sultan Ibrahim.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here