AHLI Parlimen Seputeh Teresa Kok menang saman fitnahnya terhadap Datuk Dr Akmal Saleh, dengan Mahkamah Tinggi memerintahkan Ketua Pemuda UMNO itu membayar ganti rugi berjumlah RM250,000.
Peguam Teresa, SN Nair, berkata Mahkamah Tinggi Melaka mengarahkan Akmal membayar pampasan itu kepada Kok kerana merosakkan reputasinya.
Kes itu berpunca daripada kenyataan yang dibuat Akmal pada September 2024 selepas Kok mempersoalkan cadangan untuk mewajibkan sijil halal bagi restoran dan perniagaan makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.
Kok memberi amaran bahawa cadangan itu boleh membebankan perniagaan, khususnya peniaga kecil. Akmal kemudiannya membalas dengan menggelarnya ‘nyonya tua’ dan mencadangkan supaya label ‘tidak halal’ ditampal pada dahi Kok, lapor FMT
Nair dalam satu kenyataan berkata mahkamah turut memerintahkan Akmal memadamkan kenyataan berunsur fitnah itu daripada semua platform media sosialnya dan turut dilarang mengulangi atau membuat kenyataan berunsur fitnah yang serupa mengenai Kok.
Mahkamah juga memerintahkan Akmal membayar kos sebanyak RM50,000.
Nair berkata Kok menyambut baik keputusan itu dan menyifatkannya sebagai langkah penting untuk melindungi reputasinya serta memastikan pihak yang membuat kenyataan berunsur fitnah dipertanggungjawabkan.
Beliau berkata perdebatan awam mesti dijalankan secara bertanggungjawab dan kebebasan bersuara tidak melindungi sesiapa daripada tindakan undang-undang kerana memfitnah.
Ketika dihubungi, peguam Akmal, Syahrul Syazwan Salehin, berkata beliau perlu terlebih dahulu memberi nasihat dan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.





