Lelaki ditahan di Pasir Puteh paparkan perbuatan tak senonoh terhadap kucing

SEORANG lelaki ditahan di Pasir Puteh, Kelantan susulan penularan sebuah video di media sosial memaparkan perbuatan tidak senonoh terhadap seekor kucing.

Ketua Polis Pasir Puteh Superintendan Saari Yaacob berkata satu laporan diterima berhubung video tular itu di Threads semalam.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan (jenayah seksual luar tabii) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (penggunaan kemudahan rangkaian tidak wajar),” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan atau berkongsi maklumat belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan.

“Orang ramai juga diminta tidak menyebarkan semula video berkenaan demi menghormati sensitiviti awam dan mengelakkan penyebaran kandungan tidak wajar.”

Semalam, Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia, Kalaivanan Ravichandran dilaporkan menggesa siasatan dijalankan berhubung dakwaan penderaan seksual terhadap seekor kucing serta pihak berkuasa diminta mengenal pasti individu terbabit, mengesahkan rakaman berkenaan dan mengumpul semua bukti digital.

Beliau berkata, keutamaan segera perlu diberikan untuk mengesan kucing itu dan memastikan keselamatannya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here