SEORANG bekas kerani akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan pecah amanah wang deposit pelanggan berjumlah RM52,575, sejak dua tahun lepas.
Norhasanah Adilah Rahman, 30, didakwa sebagai admin akaun syarikat Luzzeri Group Sdn Bhd telah melakukan kesalahan itu, dengan memindahkan wang berkenaan ke dalam akaun bank miliknya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis syarikat berkenaan di Jalan Raja Muda Musa Kuala Lumour pada 7 Jan 2024 hingga 7 Nov 2025, yang mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun serta denda.
Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri memohon jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran.
Bagaimanapun, peguam Mohamad Suhail Rahimi Abd Razak yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah, kerana anak guamnya kini bekerja di sebuah syarikat lain dengan pendapatan RM2,000 sebulan dan perlu menanggung ibu bapanya.
“Tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan terhadapnya. Suami tertuduh yang hanya berpendapatan RM2,000 sebulan hadir hari ini sebagai penjamin, jadi saya mohon mahkamah memberi jaminan rendah kepada anak guam,” katanya.
Hakim Norma Ismail kemudian membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan, selain menetapkan sebutan kes pada 19 Nov depan.





