Dakwaan hina institusi raja, adat NS: Sekretariat Taat Setia buat laporan polis

SEKRETARIAT Taat Setia dan Sokong Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini berhubung beberapa kenyataan di media sosial yang didakwa menghina institusi diraja dan adat.

Ketua Sekretariat berkenaan Profesor Dr Mohd Aluwi Sari berkata laporan itu bertujuan meminta polis menyiasat kenyataan yang didakwa berbaur hasutan dan penghinaan, selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat akaun media sosial terbabit.

Beliau berkata polis perlu mengenal pasti pemilik akaun, meneliti bukti dan menentukan sama ada terdapat sebarang kesalahan di bawah undang-undang.

“Saya memandang serius perkara ini kerana penyebaran kenyataan sedemikian berpotensi menimbulkan salah faham, ketegangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat serta menyentuh sensitiviti institusi diraja.

“Kita mengambil tanggungjawab untuk membuat laporan polis ini supaya ada tindakan penguatkuasaan. Kita menuntut supaya ada tindakan tegas kerana perkara ini melibatkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan.

Mohd Aluwi berkata kemelut berkaitan adat Negeri Sembilan perlu ditangani melalui saluran yang betul.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintenden Ahmad Lutfi Abdul Mutalip ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here