KEMENTERIAN Kewangan (MoF) meluluskan dana tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi membantu menampung keperluan pembiayaan projek pembangunan luar bandar.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu dibuat selepas kerajaan mengenal pasti penjimatan daripada perbelanjaan pembangunan kementerian lain untuk disalurkan kepada KKDW.
Menurut Perdana Menteri, KKDW sebelum ini turut diarahkan pada 10 September lalu supaya menghentikan sementara pengeluaran surat setuju terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar bagi mengelakkan peningkatan tunggakan pembayaran.
“KKDW telah membuat komitmen dan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah asal yang diluluskan menerusi Belanjawan tahunan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menyebabkan tunggakan serta kelewatan pembayaran kepada kontraktor,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, kerajaan telah menaikkan peruntukan tahunan untuk projek jalan luar bandar kepada lebih RM2 bilion menerusi Belanjawan 2026 dan Belanjawan 2027.
Bagaimanapun, peningkatan itu masih belum mencukupi untuk memenuhi keseluruhan komitmen kontrak sedia ada yang ditanggung KKDW.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, MoF meminta kementerian berkenaan mengemukakan anggaran keperluan pembiayaan sehingga penghujung tahun ini serta bagi 2027, berdasarkan kontrak yang telah diberikan. Langkah tersebut bertujuan mengenal pasti jumlah dana tambahan yang diperlukan.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab berhubung dakwaan pelanggaran prosedur kewangan apabila perbelanjaan melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan bahawa pelantikan kontraktor bagi projek jalan luar bandar lazimnya dilaksanakan melalui kaedah tender, termasuk tender terbuka dan Tender Terbuka Pra-Kelayakan (TTPKT).
Beliau berkata, TTPKT diperkenalkan oleh MoF pada 2023 sebagai mekanisme khas untuk mempercepat pelaksanaan projek pembangunan.
Namun, Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 2/2025 mendapati pelaksanaan kaedah itu, termasuk oleh KKDW, tidak mencapai matlamat asal yang ditetapkan kerajaan.
Susulan penemuan tersebut, MoF turut menghentikan kelulusan penggunaan TTPKT oleh KKDW bagi pelaksanaan projek baharu.





