Wanita maut Axia dirempuh treler langgar lampu isyarat merah

SEORANG wanita maut selepas kereta Perodua Axia dipandunya dirempuh sebuah treler yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Kilometer 4.7 Jalan Machang-Tanah Merah, berhampiran persimpangan lampu isyarat Wakaf Bata di Machang malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa yang berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati treler jenis Volvo yang dipandu lelaki tempatan berusia 47 tahun sedang bergerak dari arah Tanah Merah menuju ke Machang.

“Treler berkenaan dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan terbabit sebelum merempuh bahagian sisi kanan kereta Perodua Axia yang sedang bergerak dari arah Padang Kelupang menuju ke Tanah Merah.

“Rempuhan kuat menyebabkan pemandu Perodua Axia parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azuhar berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai dan berbahaya.

“Pemandu treler turut ditahan mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952 selepas polis merampas empat bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi cecair berwarna keperangan dan disyaki air ketum,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, Inspektor Khairulanwar Adam di talian 011-1008 5165 atau datang di mana-mana balai polis berhampiran.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here