Suri rumah hilang RM472,000, terperdaya sindiket menyamar pegawai kerajaan

SEORANG suri rumah kerugian RM472,000 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai kerajaan, polis dan Timbalan Pendakwa Raya sebelum mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram serta berdepan waran tangkap.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 46 tahun itu membuat laporan polis pada Isnin selepas menyedari dirinya ditipu.

Menurutnya, kejadian bermula pada 5 Ogos lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti penyebaran saham pelaburan, bantuan kerajaan dan peluang pekerjaan sebelum talian disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai ‘Sarjan Andi’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Suspek kemudian memaklumkan nombor kad pengenalan mangsa dikaitkan dengan kegiatan pengubahan wang haram dan satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya,” katanya.

Azli berkata, mangsa yang panik kemudian disambungkan kepada seorang wanita yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya bernama ‘Zaleha’.

Katanya, wanita itu mengarahkan mangsa membuat pembayaran kononnya bagi menyelesaikan kes berkenaan, selain memberi jaminan wang terbabit akan dipulangkan selepas siasatan selesai.

“Akibat ketakutan ditangkap, mangsa membuat 21 transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza milik sindiket antara 18 Ogos hingga 19 September lalu.

“Mangsa menggunakan wang simpanan peribadi dan keseluruhan kerugian dianggarkan RM472,000,” katanya.

Beliau berkata, helah sindiket terbongkar apabila mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM80,000 selepas semua transaksi terdahulu selesai dilakukan.

“Permintaan itu menyebabkan mangsa mula curiga sebelum tampil membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu serta rangkaian sindiket terbabit,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here