Seorang pengasuh wanita direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia 10 bulan yang ditemukan dalam keadaan lemah ketika berada di bawah jagaannya, semalam.
Perintah reman terhadap wanita berusia 25 tahun itu dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal, hari ini, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, wanita berkenaan tiba di mahkamah dengan diiringi anggota polis bagi prosiding reman, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman dilaporkan berkata, pengasuh itu ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurut laporan, ibu mangsa menghantar bayi itu ke rumah pengasuh pada awal pagi sebelum wanita berkenaan mendapati mangsa dalam keadaan lemah dan tidak bermaya kira-kira jam 9.50 pagi.
Pengasuh kemudian membawa bayi itu ke klinik kesihatan berhampiran, namun mangsa dipercayai meninggal dunia sebelum tiba di klinik.
Pemeriksaan fizikal awal juga tidak menemukan sebarang kesan lebam pada tubuh mangsa.





