Kes saman fitnah : Keberanian politik mesti ada kebijaksanaan – Dr.Hamdan

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Melaka pada 19 Oktober 2026 yang memerintahkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membayar RM250,000 ganti rugi dan RM50,000 kos kepada Teresa Kok bukan sekadar soal kalah atau menang saman.

Sebaliknya kata Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti) Unisel Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh, ia membawa pengajaran besar tentang sempadan kebebasan bersuara, budaya komunikasi politik dan tanggungjawab seorang pemimpin.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti) Unisel Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh

‘’Mahkamah mendapati kenyataan berkenaan melampaui batas kritikan terhadap dasar awam, sementara pembelaan komen adil dan keistimewaan bersyarat gagal dibuktikan. Kes sebegini bukan sesuatu yang baharu dalam politik Malaysia.

‘’Sebelum ini ahli-ahli politik pernah mengalami situasi ini. Kes-kes ini memperlihatkan bahawa isu saman fitnah merentasi sempadan parti politik. Ia bukan persoalan UMNO, Pas, Bersatu, PKR atau DAP semata-mata,’’ katanya kepada utusanmelayuplus.

Dr.Hamdan berkata, pada hemat beliau, terdapat tiga pengajaran penting berkaitan perkara tersebut iaitu:

Pertama, keberanian politik mesti disertai kebijaksanaan politik. Seorang pemimpin berhak mempertahankan agama, bangsa dan kepentingan rakyat. Namun, mempertahankan prinsip tidak semestinya memerlukan kritik terhadap peribadi orang lain.

Kedua, politik persepsi dan perang saraf mempunyai sempadan undang-undang. Dalam era TikTok dan komunikasi pantas, kenyataan yang mencetuskan emosi mungkin mendapat perhatian luar biasa. Tetapi populariti sesuatu naratif tidak menjadikannya benar, apatah lagi kebal daripada tindakan mahkamah.

Ketiga, kematangan kepimpinan diukur melalui kemampuan mengurus perbezaan. Dalam isu pensijilan halal ini, perbahasan sepatutnya tertumpu kepada dasar, bidang kuasa, kepentingan pengguna dan beban peniaga kecil. Apabila perdebatan dasar bertukar menjadi serangan peribadi, substansi dasar itu sendiri akhirnya tenggelam.

Beliau berkata, dalam konteks hubungan parti-parti Kerajaan Perpaduan pula, episod ini mengingatkan bahawa perbezaan pandangan antara pemimpin gabungan memerlukan disiplin komunikasi yang lebih tersusun.

‘’Ketegasan dalam pendirian boleh dikekalkan tanpa menghilangkan rasa hormat antara satu sama lain. Namun, keputusan Mahkamah Tinggi ini juga perlu dilihat mengikut proses perundangan yang sewajarnya, termasuk hak pihak terlibat untuk mengemukakan rayuan.

‘’Politik memerlukan keberanian untuk bersuara, tetapi juga kebijaksanaan untuk mengetahui apa yang wajar diucapkan,’’ katanya.

Jangan kerana mahu memenangi persepsi untuk sehari, akhirnya terpaksa menanggung implikasi perundangan bertahun-tahun. Dalam politik, lidah mungkin tidak bertulang, tetapi setiap patah perkataan boleh mempunyai harga. Dan kadangkala harganya RM300,000.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here