SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai kerjasama strategik menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasakan agenda antirasuah, pembangunan kapasiti, penyelidikan saintifik, serta perkongsian data empirikal dalam menganalisis trend rasuah dan keberkesanan tadbir urus.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, kolaborasi antara agensi penguatkuasaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka negara itu membuka lembaran baharu dalam pembangunan modul akademik, kajian penyelidikan, serta pelaksanaan program kesedaran berimpak tinggi.
“SPRM melihat kerjasama ini sebagai platform terbaik untuk menyatukan kepakaran akademik dan kekuatan penguatkuasaan bagi melahirkan ekosistem organisasi yang telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Program Certified Professional in Integrity Assurance and Management (CPIAM) Tahun 2026 dan Majlis Menandatangani MoU Antara USM dan SPRM di Dewan Persidangan Universiti, USM di Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi menegaskan MoU berkenaan bukan sekadar simbolik kerjasama korporat, sebaliknya manifestasi dan komitmen jitu kedua-dua pihak dalam membina benteng pertahanan antirasuah yang lebih utuh.
Beliau turut mengingatkan para graduan bahawa sijil profesional yang diraih merupakan amanah besar yang bertindak sebagai ‘senjata’ dan ‘perisai’ untuk memutus rantaian salah laku, sambil menekankan bahawa usaha membanteras rasuah memerlukan pendekatan ‘Whole-of-Society’ yang melibatkan peranan aktif segenap lapisan institusi.
Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Prof Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, Program CPIAM berupaya membina serta memperkukuh amalan integriti dalam sesebuah organisasi secara praktikal.
“Budaya integriti yang bermula di kampus mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang daripada sudut akademik, malah berani menolak rasuah. Teruskan usaha menyumbang kepada tadbir urus dan pembudayaan integriti di Malaysia,” tegas beliau.
Pada majlis menandatangani MoU berkenaan, SPRM diwakili oleh Azmi dan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Ahmad Nizam Ismail manakala USM diwakili oleh Abdul Rahman dan Penasihat Undang-Undang USM, Datuk Dr Khairul Anuar Che Azmi dan disaksikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Prof Dr Hasliza Abdul Halim serta Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO), Datuk Ahmad Sabri Mohamed.
Sesi tersebut turut menyaksikan seramai 44 graduan menerima sijil profesional CPIAM 2026. Program pensijilan siri ke-6 yang dibangunkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan USM dengan kerjasama ACeIO sejak tahun 2023 itu kini telah melahirkan lebih 150 profesional kompeten daripada pelbagai agensi awam dan swasta di seluruh negara.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Prof Datuk Dr Azlan Amran; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Lim Bee Kean; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim dan Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff.





