MCMC, SPRM perkukuh kerjasama, guna AI bendung salah guna kuasa

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan integriti khususnya bagi menangani cabaran dalam persekitaran digital.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada majlis di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya, hari ini.

GAMBAR: MCMC

Majlis menandatangani MoU itu melibatkan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.

Menerusi MoU itu, kedua-dua agensi akan memperluas kerjasama rentas agensi termasuk perkongsian kepakaran dalam aspek penguatkuasaan, penyiasatan, teknologi digital, pengurusan maklumat serta pencegahan rasuah.

GAMBAR: MCMC

Kerjasama berkenaan turut meliputi perkongsian amalan terbaik berkaitan tadbir urus, integriti dan pengurusan risiko bagi memperkukuh keupayaan kedua-dua agensi menghadapi risiko salah laku serta penyelewengan.

Dalam masa sama, MCMC dan SPRM akan memberi tumpuan kepada pembangunan pengetahuan dan kemahiran menerusi program advokasi, latihan, perkongsian ilmu serta pembangunan kapasiti.

Teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) turut akan dimanfaatkan bagi membantu kedua-dua agensi mengesan, mencegah dan mengurus risiko salah guna kuasa serta penyelewengan secara lebih sistematik.

“Usaha ini dijangka meningkatkan kesiapsiagaan kedua-dua agensi dalam menangani risiko rasuah dan salah laku yang semakin kompleks, di samping menyokong akauntabiliti serta penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

MCMC berkata, inisiatif melalui kerjasama itu juga berpotensi diperluaskan kepada pihak industri dan pemegang taruh berkaitan.

Menurut suruhanjaya itu, sebagai penggerak ekosistem komunikasi dan multimedia negara, MCMC akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memperluas sinergi antara agensi.

Langkah itu selaras dengan usaha membentuk budaya kerja yang lebih telus, beretika dan bertanggungjawab, selain meningkatkan keyakinan rakyat, industri dan pelabur terhadap institusi awam serta ekosistem komunikasi dan multimedia negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here