Akaun TikTok tawar lesen tanpa ujian adalah palsu — JPJ buat laporan kepada MCMC

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bahawa sebuah akaun TikTok atas nama ‘Ahmad Murshidi’ yang menawarkan perkhidmatan kelulusan lesen memandu tanpa perlu menduduki ujian adalah palsu.

Jabatan itu menerusi kenyataan rasmi dalam laman Facebook memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima aduan berhubung tindakan pemilik akaun berkenaan yang mempromosikan iklan tawaran lesen tanpa perlu menghadiri kelas fizikal atau menjalani ujian pemanduan.

Menurutnya, susulan penemuan itu, JPJ telah mengemukakan laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan undang-undang serta sekatan diambil.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan atau akaun tidak sah yang menawarkan perkhidmatan berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dan kerugian.

“Sebarang pertanyaan atau hebahan berkaitan perkhidmatan JPJ adalah melalui platform rasmi jabatan sahaja,” tegas JPJ dalam kenyataan itu.

Tinjauan pada akaun TikTok terbabit mendapati pihak tidak bertanggungjawab berkenaan mempromosikan pakej lesen motosikal kelas B2 pada harga RM350, manakala lesen B Penuh (B Full) ditawarkan pada kadar RM380 tanpa perlu melalui ujian JPJ.

Lebih membimbangkan, ruangan komen pada hantaran video berkenaan turut mendapati terdapat beberapa pengguna media sosial yang menyatakan minat serta bertanyakan cara untuk mendapatkan perkhidmatan haram tersebut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here