SEORANG pensyarah wanita kerugian RM269,993 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Putrajaya pada 20 April lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, suspek mendakwa maklumat peribadi mangsa disalahgunakan dan mengaitkannya dengan kegiatan penipuan pelaburan World Coin Trading.
Menurutnya, panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis sebelum mangsa diberitahu kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
Mangsa berusia 49 tahun turut diugut dengan waran tangkap, pembekuan akaun dan hukuman penjara sebelum diarahkan menyerahkan kad ATM serta membuat pembayaran bagi tujuan ikat jamin.
“Mangsa yang ketakutan telah menyerahkan kad ATM dengan meletakkannya di lokasi ditetapkan suspek dan membuat lapan transaksi pindahan wang berjumlah RM43,000, antara 29 Ogos hingga 13 September,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas menyemak penyata akaun dan mendapati tujuh lagi transaksi pindahan wang berjumlah RM226,993 dilakukan antara 28 Jun hingga 8 Ogos lalu.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.




