SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Kedutaan Republik Rakyat China menerusi satu majlis makan tengah hari di kediaman rasmi Duta Besar negara berkenaan di ibu negara kelmarin.
Majlis atas jemputan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman itu menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai hubungan bilateral serta meneroka peluang kerjasama institusi antirasuah.

Pertemuan tersebut turut membawa makna istimewa memandangkan ia merupakan hari terakhir Ouyang Yujing bertugas di negara ini selepas enam tahun berkhidmat sebagai Duta Besar.
Dalam pertemuan itu, Abd Halim menzahirkan penghargaan di atas persahabatan dan sokongan yang terjalin sepanjang tempoh perkhidmatan Duta Besar tersebut selain menghargai sambutan mesra yang diberikan kepada delegasi SPRM.
“Perbincangan ini merangkumi kerjasama institusi antirasuah, pertukaran lawatan serta ruang perkongsian pengetahuan dan pengalaman bagi meningkatkan keupayaan institusi masing-masing,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan SPRM hari ini.
Selain isu pencegahan rasuah, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, automasi serta kepentingan pembangunan kemahiran bagi menghadapi cabaran teknologi baharu.
Turut disentuh dalam pertemuan berkenaan adalah potensi kerjasama dalam bidang pendidikan, pelancongan dan pemeliharaan warisan budaya sebagai medium mengukuhkan persefahaman antara rakyat Malaysia dan China.
Yang turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan, Datuk Saiful Ezral Arifin serta barisan pengurusan tertinggi SPRM dan wakil Kedutaan China.





