Pesara bank rugi RM936,000 diperdaya sindiket menyamar polis, Timbalan Pendakwa Raya

SEORANG wanita warga emas kerugian RM936,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan telefon yang memperdayakannya dengan dakwaan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Mangsa berusia 60 tahun yang juga pesara pengurus bank dipercayai diperdaya individu menyamar sebagai ejen insurans, pegawai polis dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa sebagai ejen insurans pada 1 April lalu.

Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa kononnya membuat tuntutan insurans di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Apabila mangsa menafikan perkara itu, panggilan disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan perlu membuat laporan polis secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihubungi seorang lagi suspek yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya sebelum diarahkan membuka akaun bank baharu kononnya bagi tujuan siasatan.

Katanya, pada 6 April lalu, mangsa membuka akaun bank terbabit sebelum memindahkan keseluruhan wang simpanannya ke dalam akaun berkenaan.

“Mangsa turut diminta menyerahkan maklumat perbankan dalam talian kepada suspek.

“Bagaimanapun pada 15 Mei lalu, mangsa mendapati semua wang di dalam akaun tersebut telah lesap sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img