OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan bagi mengesan dua individu yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Air Terjun Lubuk Tupai, Kampung Hulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor, hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika enam individu melakukan aktiviti mendaki di kawasan berkenaan sebelum dua daripada mereka masuk ke sungai untuk mandi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.13 tengah hari.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Usaha mengesan mangsa berdepan cabaran berikutan lokasi air terjun berkenaan yang terpencil dan memerlukan anggota berjalan kaki sejauh empat hingga lima kilometer dari kem pangkalan di Kampung Hulu Rening.
“Anggota daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali tiba di air terjun itu pada jam 1.05 tengah hari, manakala anggota dari BBP Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi pada jam 2.28 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ashrul Riezal berkata, pasukan penyelamat sedang membuat penilaian awal di kawasan kejadian sebelum meneruskan usaha mencari kedua-dua mangsa.
Seramai 10 anggota daripada BBP Kuala Kubu Bharu dan PBS Batang Kali terbabit dalam operasi berkenaan.





