SEORANG guru mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap tiga murid lelaki berusia 11 tahun sejak Julai lalu.
Tertuduh, MD Sebastian, 46, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Ilmami Ahmad.
Mengikut empat pertuduhan, tertuduh yang juga guru tuisyen didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga murid lelaki berkenaan di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Jalan Puchong, antara Julai hingga September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang daripada murid terbabit di lokasi sama, masing-masing antara jam 5.30 petang hingga 6 petang pada 18 dan 30 September lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan, lapor BH.
Timbalan Pendakwa Raya, V Suloshani dan Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, memohon supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain syarat tidak mendekati mangsa dan saksi pendakwaan.
Pendakwaan turut memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia melapor diri di balai polis berhampiran kediamannya sekali sebulan.
Bagaimanapun, peguam Mansheel Kaur yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai tempat tinggal tetap, tidak berisiko melarikan diri dan perlu menanggung ibu bapanya yang uzur.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Azrul membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap kes di hadapannya, manakala Ilmami menetapkan jumlah sama bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan ikat jamin RM40,000.
Mahkamah turut menetapkan syarat supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, menyerahkan pasport serta melapor diri di balai polis berhampiran kediamannya sekali sebulan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 November dan 18 Disember depan.
Sebelum ini, pada 16 Oktober lalu, media melaporkan penahanan guru berkenaan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki berusia antara 12 hingga 16 tahun.
Dia ditahan kira-kira jam 11.30 malam pada 10 Oktober di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Siasatan awal polis ketika itu mendapati perbuatan yang disiasat dipercayai berlaku di rumah tertuduh yang turut digunakan sebagai pusat tuisyen.





