Hina institusi diraja Negeri Sembilan: MCMC siasat akaun Facebook ‘Che GuBard’

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, kandungan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “Che GuBard” itu menyentuh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta kerabat diraja negeri berkenaan.

Susulan itu, kata MCMC, individu yang dipercayai mengendalikan akaun terbabit telah hadir ke Balai Polis Cyberjaya hari ini bagi membantu proses siasatan.

“Rakaman percakapan telah dijalankan bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. Sebuah unit telefon bimbit berserta satu kad SIM turut disita,” menurut kenyataan itu.

MCMC menegaskan bahawa pihak badan pengawal selia itu memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian yang berpotensi mencetuskan kebencian, penghinaan atau rasa tidak hormat terhadap Institusi diraja.

“Kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab serta selaras dengan undang-undang negara. Sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan dan proses perundangan yang berkuat kuasa,” jelas MCMC.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here