PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa krisis berhubung isu adat dan pentadbiran di Negeri Sembilan bukannya berpunca daripada ‘tangan ghaib’, sebaliknya melibatkan campur tangan pihak yang jelas kelihatan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, perkembangan politik di negeri berkenaan amat membimbangkan kerana menimbulkan persoalan serius terhadap pematuhan prinsip demokrasi dan Perlembagaan Negara.
“Saya rasa bukan tangan ghaib, tetapi tangan yang nampak terang. Apa yang berlaku di Negeri Sembilan amat membimbangkan. Kita menyaksikan bagaimana kerajaan negeri dibentuk melalui parti yang dipilih dalam pilihan raya.
“Di mana demokrasi? Tak hormati demokrasi,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau menjawab celahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanyakan pandangan berhubung kekecohan di Negeri Sembilan yang didakwa berpunca daripada campur tangan pihak tertentu sehingga menafikan suara rakyat.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menekankan pentingnya mempertahankan amalan Raja Berperlembagaan dan konsep federalisme agar pembahagian kuasa serta peranan institusi berkaitan, termasuk mahkamah, sentiasa dihormati.
“Sebarang campur tangan yang menjejaskan prinsip berkenaan boleh memberi kesan besar terhadap sistem pemerintahan negara,” tegasnya.
Sementara itu, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) ketika menyertai perbahasan RUU sama membidas kenyataan berkenaan dan menyifatkan dakwaan penglibatan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis itu sebagai satu rekaan semata-mata.
“Apa yang disebut Marang tadi adalah ‘new myths’, DAP mengawal PH… PH menyebabkan kekacauan dan kekeliruan. Saya pun tak tahu, tapi saya kata saja kalau BN dan PN berkuasa di Negeri Sembilan, masalah Kesultanan di Negeri Sembilan itu selesai. Nampaknya, makin haru-biru dan makin kelam-kabut,” bidasnya.





