MCMC sambut baik Belanjawan 2027, enam inisiatif perkasa ekosistem digital

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik Belanjawan 2027 yang disifatkan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan dan mempercepat transformasi digital negara.

Menerusi kenyataan hari ini, MCMC berkata, pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan itu akan menyokong pembangunan ekonomi digital serta memastikan manfaat kemajuan teknologi dapat dinikmati masyarakat di seluruh negara.

Antara inisiatif utama adalah peruntukan RM5 bilion bagi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memperluas liputan Internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk perkampungan Orang Asli.

“Peruntukan itu turut merangkumi usaha meningkatkan kesalinghubungan di sepanjang 7,000 kilometer jalan raya dan lebuh raya serta 1,700 kilometer laluan rel di seluruh negara,” kata kenyataan MCMC.

Selain itu, suruhanjaya itu berkata, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi memperkasa ekosistem kesihatan digital menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).

Menurutnya, inisiatif berkenaan akan menyokong peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), perkhidmatan telekesihatan dan penggunaan dron bagi penghantaran ubat, sekali gus meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dalam usaha memperluas penyertaan masyarakat dalam ekonomi digital, kerajaan turut memperuntukkan RM142 juta bagi memperkasa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab komuniti digital.

“Kemudahan itu akan menyediakan latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), selain menyokong pembangunan ekonomi serta keusahawanan setempat,” katanya.

Selain itu, MCMC berkata, pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) akan meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif dan mampan.

Bagi sektor pendidikan pula, MCMC berkata, peluasan akses Internet melalui penyediaan Wi-Fi di semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam akan membantu memastikan pelajar memperoleh akses Internet yang lebih menyeluruh, di samping menyokong pembelajaran digital dan pembangunan bakat masa hadapan.

Inisiatif keenam, kata MCMC, memberi tumpuan kepada pembangunan Sovereign AI Cloud, pengukuhan keselamatan siber dan usaha memastikan penggunaan Internet yang lebih selamat. Langkah itu bertujuan memperkukuh kedaulatan data, menyokong pembangunan AI yang selamat serta meningkatkan daya tahan ekosistem digital negara.

MCMC turut menegaskan komitmennya untuk memperhebat Kempen Internet Selamat di sekolah-sekolah seluruh negara dan membanteras penipuan digital, termasuk menerusi tindakan menyekat lebih 5.7 bilion panggilan serta khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan.

“Sebagai pengawal selia sektor komunikasi dan multimedia, MCMC komited memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, industri dan negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, pelaburan strategik berkenaan dijangka terus menyokong pembangunan ekonomi digital negara melalui peluasan akses Internet, pemerkasaan kemudahan digital dan peningkatan keselamatan dalam talian.

“MCMC yakin pelaburan strategik ini akan terus memacu pembangunan ekonomi digital serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara digital yang berdaya saing,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu turut menyatakan bahawa pelaksanaan inisiatif berkenaan perlu memastikan manfaat pembangunan digital dapat dinikmati rakyat, industri dan negara secara menyeluruh.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here