SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Forum Kandungan (Content Forum) mengadakan sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan penstriman video seperti Over-the-Top (OTT) dan Video-on-Demand (VOD) bagi memperkukuh pengurusan kandungan yang bertanggungjawab di negara ini.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang mahukan kebebasan berkarya dalam kalangan penggiat industri senantiasa diseimbangkan dengan nilai agama, keharmonian kaum serta sensitiviti budaya tempatan.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, langkah perlindungan yang berkesan perlu diambil oleh pihak penyedia perkhidmatan digital terutamanya bagi melindungi golongan kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai.
“Langkah ini merangkumi semakan kandungan dalaman, pengelasan umur yang bersesuaian, kawalan ibu bapa dan mekanisme pengendalian aduan yang mudah diakses.
“MCMC dan Content Forum akan terus bekerjasama dengan industri bagi memperkukuh kawal selia kendiri, perlindungan pengguna dan akauntabiliti bersama. Walau bagaimanapun, tindakan kawal selia yang sewajarnya akan tetap diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang,” menurut MCMC dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sesi pertemuan tersebut turut melibatkan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memperincikan pematuhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Sesi libat urus berkenaan mendapat penyertaan meluas daripada gergasi industri tempatan dan antarabangsa termasuk Netflix, Apple TV, Motion Picture Association (MPA), Asia Video Industry Association (AVIA), Astro (Astro GO dan Sooka), iQIYI, Media Prima Berhad (Tonton), MYTV Mana-Mana, Unifi TV serta Viu.




