JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi ejen haram bagi menawarkan perkhidmatan berkaitan imigresen kepada warga asing di Lembah Klang.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata wanita berusia 31 tahun itu ditahan dalam operasi khas di sebuah premis kediaman di Seksyen U15, Shah Alam, pada 19 Oktober lalu.
Beliau berkata, operasi bermula jam 10 pagi itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan.
“Dalam operasi berkenaan, pihaknya menyita dua pasport Indonesia, satu set kunci premis kediaman, dua telefon bimbit, buku catatan pelanggan dan wang tunai RM4,000 yang dipercayai hasil kegiatan itu.
“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa pasukan operasi ke sebuah syarikat kurier di Puncak Alam, Shah Alam, sebelum menyita satu bungkusan mengandungi pasport Indonesia yang dihantar pelanggan kepada wanita terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zakaria, suspek dipercayai mempromosikan perkhidmatan berkaitan imigresen menerusi platform media sosial TikTok dengan menyasarkan warga Indonesia yang berada di Lembah Klang.
“Perkhidmatan ditawarkan termasuk urusan Program Repatriasi Migran (PRM), Pas Khas, membawa masuk dan keluar migran melalui laluan tidak diwartakan serta mendapatkan Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) daripada Kedutaan Indonesia.
“Suspek dipercayai mengenakan bayaran antara RM700 hingga RM3,000 bagi setiap perkhidmatan dan menjalankan kegiatan itu sejak kira-kira setahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, wanita itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 56(1)(l) dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
JIM menegaskan akan meneruskan tindakan bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang imigresen negara.





