Kerjasama pertahanan Malaysia-Jepun ditingkat, fokus perolehan aset G2G dan pemindahan teknologi

MALAYSIA dan Jepun bersetuju meneroka kaedah perolehan aset pertahanan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi memastikan setiap pembelian membawa manfaat pemindahan teknologi serta memperkasakan industri tempatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu penting dalam membolehkan negara membangunkan keupayaan berdaulat (sovereign capability) untuk menghasilkan aset serta komponen pertahanan sendiri.

SEKITAR lawatan kerja Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Jepun bermula 18 Oktober lalu. GAMBAR: Kementerian Pertahanan

Menurut beliau, langkah strategik ini dimanfaatkan susulan perubahan dasar keselamatan Jepun yang kini membenarkan pengeksportan aset ketenteraan serta kerjasama pertahanan yang lebih luas dengan negara sahabat.

“Kita mahu perolehan secara G2G supaya apabila berlaku pembelian, ia disertai pemindahan teknologi dan usaha membangunkan industri tempatan. Jepun telah menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dalam aspek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi merumuskan hasil lawatan kerja rasmi pertamanya sebagai Menteri Pertahanan ke Jepun yang berlangsung bermula 18 Oktober lalu.

SEKITAR lawatan kerja Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Jepun bermula 18 Oktober lalu. GAMBAR: Kementerian Pertahanan

Mohamed Khaled berkata, menerusi pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi, kedua-dua negara mencadangkan penganjuran mesyuarat tahunan peringkat Menteri secara bergilir bagi membolehkan sebarang keputusan diluluskan dan dilaksanakan dengan lebih pantas.

Selain itu, katanya, kedua-dua negara bersetuju memperbanyakkan latihan ketenteraan bilateral dengan elemen siber, di samping merangka Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Maritim secara lebih tersusun.

Sementara itu, dalam pertemuan bersama Menteri Luar Negeri Jepun, Toshimitsu Motegi, Mohamed Khaled menyempurnakan penandatanganan dokumen bantuan Official Security Assistance (OSA) 2026.

Katanya, menerusi OSA 2026, Malaysia menerima peruntukan Counter-Unmanned Aerial System (C-UAS) bernilai ¥1.65 bilion (RM40 juta) bagi menangani ancaman udara tanpa pemandu.

Terdahulu, program OSA 2023 menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima aset bernilai RM12.63 juta, manakala peruntukan OSA 2025 bernilai RM80 juta melibatkan perolehan Diving Support Vessel (DSV) untuk TLDM.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Acquisition, Technology & Logistics Agency (ATLA) dan meninjau teknologi sistem radar serta anti-dron di fasiliti syarikat Toshiba di Kawasaki.

Mengulas lanjut menerusi sidang media, Mohamed Khaled menegaskan pengukuhan kerjasama pertahanan dengan Jepun amat kritikal dalam mendepani cabaran keselamatan semasa di kawasan strategik seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Beliau menjelaskan, walaupun hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin sejak 1957, kerjasama ketenteraan merupakan dimensi baharu yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya susulan kelonggaran dasar pertahanan Jepun.

“Dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negara, kita perlu rakan strategik yang dipercayai untuk membantu meningkatkan keupayaan pertahanan kita. Kerjasama ini perlu diusahakan secara pantas, luas dan mendalam,” jelasnya.

Beliau turut meminta Kerajaan Jepun agar program bantuan OSA terus difokuskan kepada pengawasan domain maritim (Maritime Domain Awareness) memandangkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang penting di rantau ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here