Integriti sektor kesihatan: Elak pertimbangan profesional dikompromi, bebas campur tangan

PENGUKUHAN integriti dalam sektor kesihatan amat kritikal bagi memastikan pengurusan hospital terutamanya membabitkan urusan perolehan, pelantikan pembekal dan pembayaran dilaksanakan secara telus serta bebas daripada amalan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, amalan rasuah bukan sekadar isu transaksi kewangan, sebaliknya bermula apabila prinsip integriti dikompromi dan amanah disalah guna demi kepentingan peribadi.

SEKITAR Program Kesedaran Antirasuah dalam Pengurusan Tata Kelola dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2), Petaling Jaya hari ini. GAMBAR: SPRM

Beliau menegaskan bahawa setiap warga kerja kesihatan perlu menyedari bahawa kuasa serta kedudukan merupakan satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan secara beretika.

“Setiap individu perlu memahami bahawa kuasa dan kedudukan bukan keistimewaan untuk kepentingan diri, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan secara telus serta bertanggungjawab. Amalan yang telah lama dilakukan juga tidak semestinya betul sekiranya bercanggah dengan prinsip integriti.

“Justeru, Ikrar Bebas Rasuah tidak seharusnya sekadar lafaz dalam sesuatu majlis, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan, keputusan dan amalan kerja seharian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Antirasuah dalam Pengurusan Tata Kelola dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2), Petaling Jaya hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Hairuzam Mohamad Amin @ Hamim serta Presiden dan Ketua Eksekutif, Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

DATUK Seri Abd Halim Aman

Menurut Abd Halim, dalam sektor kesihatan, penerapan nilai integriti berhubung rapat dengan keselamatan pesakit serta keyakinan masyarakat terhadap kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar setiap keputusan perubatan dan pentadbiran sentiasa dibuat berasaskan keperluan pesakit serta pertimbangan profesional tanpa dipengaruhi sebarang campur tangan yang tidak wajar.

Abd Halim berkata, SPRM turut menyambut baik inisiatif DSH2 yang merancang melatih Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dalaman bagi mempertingkat keupayaan organisasi mengesan risiko rasuah, mengurus konflik kepentingan dan memperkukuh kawalan dalaman.

Sementara itu, Pegawai Pimpinan (OIC) KPJ Healthcare Berhad, Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid menegaskan bahawa penekanan terhadap integriti merupakan tonggak utama dalam memelihara kepercayaan pesakit, warga kerja mahupun rakan perniagaan.

Beliau menambah, amalan tadbir urus yang baik perlu dipikul secara bersama oleh seluruh warga organisasi demi memastikan operasi perkhidmatan kekal profesional, telus dan bertanggungjawab.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here