KESEJAHTERAAN psikologi dan keharmonian keluarga perlu diberi perhatian dalam membentuk warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berintegriti, profesional serta mampu berdepan cabaran memerangi jenayah kolar putih.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tuntutan tugas sebagai pegawai penguat kuasa dan penyiasat tidak seharusnya menyebabkan aspek kestabilan emosi serta kehidupan peribadi diketepikan.

Katanya, sokongan keluarga dan suasana rumah tangga yang harmoni boleh menjadi sumber kekuatan kepada pegawai dalam mengurus tekanan serta melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.
“Dalam usaha membentuk warga kerja yang berintegriti, kita juga perlu memberikan perhatian kepada aspek kesejahteraan psikologi dan kehidupan peribadi mereka.
“Di sebalik ketegasan seorang pegawai penguat kuasa, tersimpan pelbagai cabaran emosi. Di sebalik kesungguhan seorang penyiasat melaksanakan amanah, terdapat tanggungjawab keluarga yang menuntut perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti dan Psikologi SPRM (KIPS) 5.0 Tahun 2026 di Auditorium ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Puspanita SPRM, Datin Seri Safiah Md Tahir; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan isteri, Datin Seri Nurul Hidayah Seah Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa Aduan SPRM, Datuk Ruziati Mior Ahamad Ariffin.
Selain itu, turut hadir, Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM merangkap Ketua Penyelaras KIPS 5.0, Syed Mohamad Tarmizi Said Musa serta pengarah kanan dan pengarah bahagian SPRM.
Menurut Abd Halim, keseimbangan antara kehidupan kerjaya dan keluarga penting bagi memastikan warga SPRM bukan sahaja cekap dalam tugas, malah mempunyai kematangan emosi serta kekuatan nilai dalam kehidupan seharian.
Katanya, penganjuran KIPS 5.0 yang bertemakan “Kasih Dipupuk, Cinta Dipelihara, Harmoni Tercipta” turut menjadi wadah untuk memperkukuh budaya integriti, kesihatan mental dan persekitaran kerja yang positif dalam kalangan warga agensi itu.
Beliau turut menyeru warga SPRM supaya tidak mengabaikan kebahagiaan rumah tangga ketika mengejar kecemerlangan kerjaya, sebaliknya mengimbangi kedua-duanya berlandaskan tanggungjawab, kebijaksanaan dan persefahaman.
KIPS 5.0 berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan dianjurkan Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan serta Hari Kesihatan Mental Sedunia.
Konvensyen berkenaan disertai kira-kira 300 peserta dan menampilkan sesi bual bicara serta forum bersama beberapa personaliti.
Antara pengisian program adalah majlis peluncuran KIPS 5.0, selain reruai jualan membabitkan agensi kerajaan dan swasta.





