SEORANG penjawat awam direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menyalahgunakan kedudukan untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap membabitkan 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry sehingga 12 Oktober ini, selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah di Mahkamah Majistret Keningau pagi tadi.

Menurut SPRM, suspek sebelum itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM cawangan Keningau.
Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai berlaku antara 2021 hingga 2024.
“Suspek disyaki menggunakan kedudukannya bagi mengesahkan Sijil Pengesahan Siap untuk kesemua projek kerajaan berkenaan yang dilaksanakan sebuah syarikat yang dipercayai dimiliki isterinya,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Menurut beliau, kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kes berkenaan.





