Kerjasama ahli panel bantu perkukuh usaha pencegahan rasuah

KEPELBAGAIAN pengalaman, kepakaran dan latar belakang ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat mampu memperkukuh usaha pencegahan rasuah, termasuk menerusi inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC).

Pengerusi PPPR, Datin Yasmin Ahmad Merican berkata, sumbangan serta pandangan setiap ahli panel memberikan perspektif berbeza yang membantu memperkayakan perbincangan dalam merangka dan melaksanakan inisiatif berkenaan.

DATIN Yasmin Ahmad Merican dan Datuk Azmi Kamaruzaman pada Mesyuarat Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Bil 3 Tahun 2026 di Pulau Pinang hari ini. GAMBAR: SPRM

Menurut beliau, jaringan kerjasama yang dibentuk antara ahli panel dan SPRM turut memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pencegahan rasuah di negara ini.

“Harapan saya, dengan jaringan kerjasama yang telah kita bina bersama ahli-ahli panel, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua panel yang memainkan peranan masing-masing dalam memajukan KMC dan usaha-usaha pencegahan rasuah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat PPPR Bil. 3 Tahun 2026 di sebuah hotel di Georgetown hari ini.

Yasmin berkata, perkongsian pengalaman dan pandangan dalam mesyuarat berkenaan turut membuka ruang kepada ahli panel menilai sesuatu isu daripada perspektif yang lebih menyeluruh.

MESYUARAT Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Bil 3 Tahun 2026 di Pulau Pinang hari ini. GAMBAR: SPRM

Katanya, perbincangan itu juga penting bagi menghasilkan cadangan yang lebih konstruktif dalam memperkukuh pelaksanaan program antirasuah supaya kekal relevan serta memberi impak kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kesinambungan KMC tidak dapat dipisahkan daripada sokongan dan peranan SPRM dalam menyelaras usaha berkenaan.

“KMC ini tidak akan ada tanpa peranan penting SPRM. Kita bekerja sebagai satu pasukan dan saya amat menghargai semangat setiakawan yang telah ditunjukkan sepanjang kita bersama,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPRM kerana memberi ruang kepada ahli panel untuk menyumbangkan idea dan pandangan dalam menjayakan agenda yang dibincangkan.

Yasmin berharap kerjasama berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang, termasuk dengan memanfaatkan pengalaman yang telah dikumpulkan sepanjang pelaksanaan inisiatif bersama.

Dalam mesyuarat sama, turut berlangsung pembentangan isu semasa oleh Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, selain pembentangan hasil kajian Pengaruh Media Sosial Terhadap Persepsi Rasuah di Malaysia oleh Bahagian Pendidikan Masyarakat.

SPRM Pulau Pinang turut membuat pembentangan dalam mesyuarat berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman selaku Ex-Officio PPPR SPRM, ahli panel PPPR serta pengarah bahagian dan negeri SPRM.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here