PRN Melaka: BN perlu undi penyokong Pas tetapi…

 

SESUNGGUHNYA tiada apa yang mengejutkan apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa rundingan parti itu dengan Pas bagi pembahagian kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah dimuktamadkan.

BN akan bertanding di 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan manakala Pas dan sekutunya diberi laluan untuk bertanding di tujuh kerusi. Jumlah 21 kerusi yang ditandingi oleh BN itu adalah jumlah yang sama parti tersebut menang dalam PRN 2021.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi. Majoriti mudah untuk tubuh kerajaan ialah 15 kerusi manakala majoriti dua pertiga ialah 19 kerusi. Kalau BN menang kesemua 21 kerusi itu, BN memiliki majoriti dua pertiga.

Bagaimanapun sama ada kesemuanya adalah kerusi yang sama seperti  PRN 2021  atau tidak, belum dapat dipastikan kerana pengumuman rasmi calon akan dibuat pada Sabtu ini. Namun gossip yang penulis dengar, BN menyerahkan kerusi DUN Merlimau yang dimenangi oleh Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh pada PRN lalu kepada Pas manakala Pas pula untuk PRU16 dikatakan akan ‘mengorbankan’ kerusi Parlimen Jasin yang kini disandang oleh Zulkifli Ismail kepada BN. Itu gosipnya…

Kalau benarlah gossip itu bagaimana kedudukan Akmal yang memenangi kerusi DUN Merlimau pada PRN 2021 dengan majoriti 3,243 undi – majoriti tertinggi diperolehi oleh BN. Ada yang kata beliau ke kerusi DUN lain dan ada yang cakap beliau akan ke Parlimen Jasin – macam-macam cerita.

Namun apa yang menarik perhatian penulis ialah bagaimana BN khususnya UMNO mempunyai ‘formula’ kerjasama politik menarik. Bukan soal bekerjasama dengan PH di peringkat pusat tetapi melawan PH di peringkat negeri, tetapi bagaimana UMNO mahu Pas berpakat dengan mereka tetapi dari segi pembahagian kerusi Pas dan sekutunya hanya dapat tujuh kerusi. Ada bisik-bisik Pas akan bertanding dua kerusi, Wawasan dua kerusi manakala selebihnya ditandingi Gerakan dan MIPP.

Yang anehnya, ketika ada ura-ura kerjasama antara dua parti itu akan diteruskan di Melaka, UMNO awal-awal lagi beri syarat bahawa semua 21 kerusi yang menang sebelum ini akan terus dipertahankan.

Kata mereka ‘’boleh kerjasama tetapi tiada kompromi soal itu’’. Maka Pas pun terpaksalah akur, lagi pula di Melaka…Pas tidaklah kuat mana. Hendak harap kepada sekutunya Wawasan,Gerakan dan MIPP…apalah sangat kekuatan mereka.

Strategi politik BN- UMNO lebih bijak. Mereka mahu mempertahankan 21 kerusi itu termasuk 11 kerusi yang dimenangi dengan majoriti bawah 1,000 undi. Kerusi tersebut ialah Tanjong Bidara (363 undi), Rembia (860 undi), Durian Tunggal (559 undi), Pantai Kundor (829 undi), Paya Rumput (629 undi), Pengkalan Batu (131 undi), Duyong (200 undi), Serkam (79 undi),Machap (938 undi), Kelebang (876 undi) dan Gadek (559 undi)

Parti Bersama diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli akan bertanding 15 kerusi dan daripada jumlah itu tiga kerusi dimenangi oleh BN dengan majoriti tipis iaitu Paya Rumput, Kelebang dan Pengkalan Batu manakala satu kerusi atas 1,000 iaitu Telok Mas (2,076 undi).

Di kerusi-kerusi ini BN amat memerlukan undi penyokong Pas memandangkan sedikit sebanyak kehadiran Bersama akan memecah undi.  Begitu juga 10 kerusi lagi, BN perlu  ‘memancing’ penyokong Pas untuk meraih undi.

Atas sebab itulah pada PRN kali ini UMNO-BN  lebih cenderung memilih Pas berbanding Pakatan Harapan (PH) kerana mereka tahu Pas mempunyai pengaruh bukan sahaja boleh memenangkan BN tetapi juga sekutu Pas terutamanya Wawasan.

Bagaimanapun Pas diberikan tujuh kerusi sahaja  dan ia perlu dibahagi-bahagikan dengan Wawasan,Gerakan,MIPP dan mungkin juga Pejuang.

BN tahu hanya bersama Pas sahaja mereka boleh menang selesa sepertimana dikatakan oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Dr. Ong Kian Ming bahawa kerjasama tersebut akan membolehkan kesepakatan itu menang 25 kerusi. Terbuktilah walaupun BN-UMNO cakap berdegar-degar boleh menang selesa di Melaka dan mengumpamakan parti itu ibarat ‘anak dara yang menjadi rebutan ramai’ hakikatnya parti itu tidaklah sehebat mana.

Pada masa sama, ada kalangan pemimpin UMNO yang ada antara mereka sememangnya tidak selesa untuk bekerjasama dengan Pas ‘memberi syarat’ bahawa selepas ini Pas perlu serahkan sebahagian kerusi yang dimenangi di negeri-negeri dikuasai oleh Pas kepada UMNO.

Pelik! Di Melaka BN mahu mempertahankan kesemua kerusi dimenangi tetapi di negeri lain Pas diminta menyerahkan kerusi parti itu kepada BN…’’demokrasi terpimpin…macam mana tu’’?

Atas sebab itulah kenyataan pemimpin UMNO disanggah oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor yang menegaskan parti itu  tidak akan menyerahkan kerusi yang dikenal pasti berpotensi menang kepada mana-mana parti bagi menghadapi PRU16.

“Kita akan tentukan kerusi mana yang ada potensi boleh menang. Kita jangan lepas dah kerusi itu kepada sesiapa pun. Kerusi yang kita boleh menang, kita beri kepada orang. Kerusi yang hendak kalah, kita ambil. Itu yang dikatakan ikhlas dengan bodoh. Ikhlas dan bodoh ini jaraknya sangat dekat senipis kulit bawang,” katanya.

 UMNO ‘tidak mahu senipis kulit bawah’ jadi mereka tidak serahkan kerusi dimenangi kepada Pas dan rakan-rakannya. Kalau begitu keadaannya adakah penyokong Pas wajar memberi undi kepada calon-calon BN dalam PRN Melaka? Lagipun Pas dan sekutunya hanya tanding tujuh kerusi sahaja…itupun belum tentu…jadi fikir-fikirkanlah. Siapa untung siapa rugi?



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here