PN boleh guna logo di PRN Melaka…’’PN is back’’ – kata Takiyuddin

PERIKATAN Nasional (PN) kini boleh menggunakan logonya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonannya menangguhkan pelaksanaan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) yang membatalkan pendaftaran gabungan itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai mengembalikan kedudukan PN.

“Selepas keputusan ini, saya tak nak hurai panjang. Saya nak sebut dalam dua perkara, Perikatan Nasional kembali. PN is back. Kita boleh guna logo sehingga saat ini, bermaksud kita boleh teruskan dengan segala aktiviti dan kegiatan kita,” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Selasa lalu, JPPM membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Keputusan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan selepas JPPM meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Okt.

Siasatan JPPM terhadap PN dibuat susulan aduan dilaporkan Bersatu yang mendakwa mereka dinafikan hak untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.

Takiyuddin juga memaklumkan PN akan menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat gabungan itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata tarikh mesyuarat akan ditentukan kemudian sambil menegaskan Bersatu masih kekal sebagai parti anggota PN.

“Kita akan menentukan bila kita akan adakan mesyuarat. Maksudnya kita boleh mengadakan mesyuarat dan perlu diingat, kami akan panggil Bersatu datang mesyuarat kerana mereka adalah parti anggota lagi,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here