‘’PERUNDINGAN antara BN (Barisan Nasional) dan Pas khususnya telah dimuktamadkan.Saya ingin mengesahkan bahawa BN akan bertanding di 21 kerusi dan Pas bersama rakan-rakan mereka akan bertanding di tujuh kerusi.’’
Itulah jawapan Pengerusi BN Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi malam tadi di Masjid Tanah Melaka apabila ditanya wartawan perkembangan rundingan itu dengan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun hari ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, rundingan itu masih belum dimuktamadkan.
Bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Takiyuddin berkata, rundingan kerjasama dengan BN akan terus diperincikan menjelang hari penamaan calon, termasuk mengenai pembahagian kerusi dan gerak kerja pilihan raya.
“Itu belum muktamad lagi (BN bertanding di 21 kerusi dan PAS-PN tujuh kerusi). Ada banyak hari lagi (sebelum penamaan calon). Kerjasama tetap kerjasama (dengan BN), tetapi belum lagi memuktamadkan bentuk kerjasama dan sebagainya,” katanya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kenapa Pas berpendapat sedemikian memandangkan reaksi Ahmad Zahid menunjukkan seolah-olah segala sudah dimuktamadkan.
Tambahan pula BN dijangka mengumumkan senarai calonnya dalam tempoh 48 jam lagi iaitu pada Sabtu ini.
Timbul persoalan adakah kenyataan Takiyuddin itu ada kaitan dengan tujuh kerusi yang diperuntukkan kepada PN. Ia memandang ada desas-desus bahawa UMNO dijangka bertanding di kerusi Sungai Udang yang sebeum ini dituntut oleh Wawasan.
Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini menegaskan, jika UMNO mahu mempertahanka 21 kerusi yang dimenangi dalam PRN lalu maka PN juga berhak berbuat demikian.
Justeru Hamzah menuntut supaya kerusi Sungai Udang dan Bemban yang sebelum ini dimenangi oleh PN melalui Bersatu diserahkan kepada gabungan itu dan berkemungkinan dua penyandang kerusi berkenaan yang kini bersama Wawasan iaitu Dr.Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang) dan Dr.Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) akan mempertahankan kerusi berkenaan.
Selain itu juga ada cakap-cakap mengatakan Pas tidak berpuashati dengan pembahagian kerusi yang dilihat hanya akan mengukuhkan lagi kedudukan BN di DUN Melaka.





