SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai termasuk pengamal media supaya tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan rakaman video insiden melibatkan senjata berbahaya di sebuah sekolah di Kuching, Sarawak.
MCMC dalam kenyataan berkata, penyebaran rakaman yang memaparkan unsur keganasan, khususnya melibatkan kanak-kanak, boleh menjejaskan privasi, maruah dan kesejahteraan emosi pihak terlibat serta keluarga mereka.
‘’Tindakan mendedahkan identiti kanak-kanak boleh melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]. Penyebaran kandungan sedemikian juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], sekiranya melanggar peruntukan undang-undang berkenaan,’’ tegas MCMC dalam kenyataan tersebut.
MCMC sedang bekerjasama dengan penyedia platform media sosial untuk menangani penyebaran rakaman berkenaan, termasuk mengambil langkah menurunkan kandungan berkaitan.
‘’Individu yang telah memuat naik atau berkongsi rakaman tersebut hendaklah segera memadamkannya. Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan semula kandungan berkenaan bagi melindungi privasi kanak-kanak dan mengelakkan gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa,’’ kata MCMC





