POLIS Negeri Sembilan sedang menjalankan siasatan terhadap dua kes berasingan melibatkan penyebaran kandungan di media sosial disyaki mempunyai unsur hasutan, penghinaan serta dakwaan tidak benar.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan manakala pihaknya juga sedang giat mengesan seorang lagi pemilik akaun media sosial bagi membantu siasatan kes tersebut.
Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM turut mengambil maklum titah Raja-Raja Melayu seperti yang dizahirkan melalui kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 14 Okt lepas, iaitu menyeru semua pihak agar mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta penghormatan terhadap adab, adat dan maruah institusi diraja.
“Sebarang perbezaan pendirian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sah dan berautoriti, berlandaskan undang-undang serta peruntukan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alzafny berkata PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kandungan yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan, mencetuskan ketegangan dan menjejaskan ketenteraman awam.





